Tampilkan postingan dengan label aurat wanita. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label aurat wanita. Tampilkan semua postingan

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?

Sebahagian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 

"Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak." 

"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak." 

"Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!" 

"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!" 

"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?" 

"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?" 

"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?" 

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. 

Kaum lelaki pula cakap, "Ah, mujur aku ni lelaki!" 

Tunggu..! 

Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah. 

"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? 

Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? 

Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!" 

"Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!" 

"Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. 

Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!" 

"Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah... itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!" 


"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!" 

"Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!" 

"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!" 

Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia. 

Janji dan Sumpah Iblis Terhadap Seorang Wanita



Iblis laknatullah membisikkan kepada para wanita bahawa apa jua pakaian termasuk hijab tidak ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan. Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Bagaimanakah caranya? 

Membuka Bahagian Tangan 

Kebiasaannya telapak tangan sudah terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan fesyen, iaitu membuka bahagia hasta (siku hingga telapak tangan). 

"Ah!Tidak apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang."Begitu bisikan syaitan. Akhirnya si wanita menampakkan tangannya dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa. 

Maka syaitan berbisik, "Hah,tak apa-apa kan?" 

Membuka Leher dan Dada 

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan fesyen yang lebih maju lagi, iaitu terbuka bahagian atas dada kamu, tetapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sedikit untuk mendapatkan hawa agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli kerana sebahagian sahaja yang terbuka." 

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari fesyen setengah lingkaran hingga fesyen berbentuk "V". 

Berpakaian tapi Telanjang 

Syaitan berbisik lagi, "Pakaianmu hanya begitu-begitu saja, cubalah fesyen yang lebih bagus! Banyak kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat agak ketat biar lebih indah dan cantik dipandang."

Maka tergodalah si wanita. "Mungkin tidak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya sahaja yang berbeza, agar nampak lebih feminin," begitu syaitan menokok-nambah. 

Maka, jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai kasiyat 'ariyat (berpakaian tapi telanjang). 

Agak Terbuka Sedikit 

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, kerana sempit, kan lebih baik dibelah hingga lutut atau mendekati peha? Dengan itu kamu lebih selesa." 

Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahaian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata lebih selesa dan mudah untuk duduk atau menaiki kenderaan. 

Tudung Semakin Kecil 

Kini syaitan melangkah dengan tipu daya lain yang lebih "power".  Tujuannya adalah agar para wanita menampakkan bahagian auratnya. "Oh, ada yang terlupa! Kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi. Sekarang kamu cari tudung yang lebih kecil agar serasi dan sepadan. Orang tetap akan menamakannya tudung." 

Terdedah 

Si wanita ternyata selesa dengan fesyen baru yang dipakainya seharian. Syaitan datang memberi idea lagi. "Rambutmu sangat cantik. Bukankah lebih selesa jika tudungmu dilepaskan. Kamu bebas mencuba fesyen rambut yang pelbagai. Malah, kamu boleh mewarnakan mengikut warna yang kamu suka supaya kelihatan lebih menawan."

Maka, sekali lagi syaitan berjaya mempengaruhi si wanita supaya mendedahkan rambutnya. 

Membuka Seluruh 

Syaitan kembali berbisik, "Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen yang lebih menarik. Bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya kira-kira 10 sentimeter sahaja. Nanti kalau kamu sudah biasa, baru cari fesyen yang di atas paras lutut" 

Benar-benar bisikan syaitan telah menjadi penasihat peribadinya. Maka terbiasalah dia memakai pakaian terdedah. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bersalahan dengan agama? 

Namun bisikan syaitan menyahut, "Ah, jelas tidak bersalahan. Kan sekarang zaman sudah semakin moden. Kamu hanya mengikut arus fesyen masa kini."

"Tetapi, apakah ini tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki?" hati si wanita curiga. 

"Fitnah? Ah, kalau kaum lelaki melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada fitnah lagi, kerana sama-sama suka?" syaitan menghasut. 

Begitulah sesuatu yang seakan-akan mustahil untuk dilakukan. 

Namun syaitan tidak pernah berhenti membisikkan hasutan-hasutan jahat sehingga ke saat kematian seorang anak Adam itu. 

Hingga pada suatu ketika nanti akan muncul idea untuk mandi di kolam renang atau di pantai secara terbuka, di mana hanya dua bahagian sahaja yang ditutupi iaitu kemaluan dan buah dada!!! 

Ingatlah, syaitan laknatullah hanya pandai menjanjikan kita dengan janji-janji palsu yang halus dan memikat, janji untuk keseronokan dunia, tetapi sebenarnya janji itu palsu dan racun yang mematikan! Nauzubillah...

*Peringatan Buat Wanita...

Sumber : Iluvislam.com

Larangan Melihat Aurat Wanita



Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda : 
“Seorang lelaki tidak dibolehkan melihat aurat lelaki lain dan wanita melihat aurat wanita. Dan tidak boleh seorang lelaki tidur dalam satu selimut dengan lelaki lain begitu juga dengan wanita”.
Imam Nawawi mengatakan ia merupakan larangan haram hukumnya apabila di antara keduanya tiada pemisah. Ia menunjukkan larangan penyentuhan aurat antara bahagian tubuh baik lelaki mahupun wanita. Hal itu telah menjadi kesepakatan para ulamak. Banyak orang menganggap ia suatu perkara remeh di mana ramai orang yang mandi dalam satu bilik mandi. 

Kerana itu, hendaknya setiap orang menjaga pandangan, tangan dan anggota tubuh dari aurat orang lain, serta memelihara auratnya jangan sampai dilihat dan disentuh orang lain. Dan apabila melihat orang yang mengabaikan hal itu, maka hendaklah mereka menjauhi dan memperingaatkannya.

Larangan ini juga merangkumi tidur seorang wanita dengan wanita lain dalam satu tempat tidur tanpa berpakaian sehingga mengakibatkan aurat kedaunya tersentuh atau terlihat. Ia termasuk dalam perbuatan haram dan merupakan langkah awal kepada perkara maksiat.

Batasan aurat yang harus ditutupi oleh wanita Islam bagi wanita Islam lain adalah dari pusat hingga ke lutut. Manakala dengan wanita bukan Islam pula sama seperti aurat wanita dengan lelaki yang bukan mahram.

Tetapi banyak wanita yang menganggap perkara ini remeh atau tidak mengambil tahu langsung. Banyak terjadi seorang wanita Islam dengan tidak malu membuka auratnya dihadapan teman baiknya kerana menganggap mereka bersamaan jantina. Bukan mustahil juga ada dikalangan mereka yang membantu rakannya mencukur bulu kakinya bahkan bulu kemaluannya. 

Semua itu merupakan perbuatan yang jelas dilarang syariat. Wanita mengangkat darjat wanita di tempat yang tinggi. Bukan sekadar di hadapan lelaki bahkan di kalangan kaum sejenis mereka juga mempunyai adab-adab yang perlu diikuti.

Sumber : al-Muslimah, BIL 228, SAFAR – RABIUL AWAL 1432

Pandang Aurat Wanita Kali pertama Tak Berdosa - Lawak atau Hukum



Saya juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut .. "tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan?". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.

Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi : Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.

Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-

ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب

Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988).

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Aurat Wanita Zaman Kini

Bila sebut sahaja menutup aurat, ramai orang lebih memfokuskan kepada pemakaian tudung semata-mata. Jika tutup kepala dengan tudung, ia sudah dikira tutup aurat. Namun secara hakikatnya, itu satu persepsi yang silap. Kini, wanita muslimah terpengaruh dengan busana dan fesyen-fesyen barat dalam berpakaian. Dan ada diantara mereka tidak menyempurnakan kewajipan mereka dalam melaksanakan hijabul muslimah yang sebenar, mereka memakai tudung tapi tidak menutup aurat kecuali rambut sahaja, berbaju tapi ketat, pendek dan jarang.


Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap, meliputi tatacara hidup dunia dan akhirat, peribadi dan masyarakat, aqidah dan akhlak dan sebagainya.

Islam meletakkan wanita ke satu darjat yang tinggi dalam masyarakat, di mana wanita dianggap suci dan dipelihara serta dilindungi kesuciannya sehingga tiada yang boleh melihat auratnya kecuali keluarga yang rapat sahaja. Tujuan pemeliharaan ini adalah untuk menjaga kemuliaan masyarakat agar lahir di sana sebuah masyarakat yang terpelihara maruahnya.

Kewajiban menutup aurat ke atas wanita tidak boleh diperbahaskan menurut lojik akal semata bahkan perlu dilihat sebagai hak wewenangan Allah SWT dalam menentukan hukum demi memelihara kesejahteraan makhlukNya.

Islam menjadikan wanita itu indah pada pandangan lelaki, perhiasan dunia dan penyejuk mata. Ini berdasarkan beberapa ayat dan Hadis Rasulullah SAW. Lelaki pula dicampakkan rasa cenderung kepada wanita, dalam sesetengah keadaan menempati tempat pertama di hati lelaki berbanding perhiasan dunia yang lain seperti harta, pangkat dan lain-lain. Ini terbukti jika diperhatikan, anak remaja lelaki, dalam usia awal belasan tahun sudah pandai memuja wanita dan menyintai wanita sedang mereka belum merasai kehendak mengumpulkan harta dan merebut pangkat.

Allah SWT, Pencipta, Pemelihara dan Pengurus diri kita dan seluruh alam ini, Dia Maha Bijaksana, Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya, menetapkan hukum menutup aurat ke atas wanita sesuai dengan fitrahnya yang halus, suci, pemalu dan indah, di samping di sana ada segolongan hambaNya yang lelaki yang sangat mengidamkan wanita, semua ini demi memelihara kesucian masyarakat dari perkara-perkara yang boleh membawa kepada maksiat yang besar atau kecil seperti pergaulan bebas dan kemuncaknya ialah zina.

Allah SWT melalui ayat-ayat sucinya dan Hadis-hadis Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa asas dalam menyempurnakan kewajiban menutup aurat .

Di sini, saya turunkan beberapa syarat asas dalam menutup aurat seperti yang dikehendaki syara’:

1) Seluruh tubuh adalah aurat:
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki adalah aurat yang wajib ditutup, kecuali wajah dan dua telapak tangan (termasuk belakang tangannya). Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [AQ: An-Nur (24):31].
Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah “wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa”, maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal. 316].
Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].

Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.

Selain itu di sana ada syarat bagi tudung wanita, firman Allah (bermaksud)
“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [ Al-Ahzab (33):59].
Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada.

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.

Berdasarkan huraian ini,tudung pendek yang sering dipakai wanita hari ini,yg melekat pada badan,tidak menutupi dadanya adalah tidak memenuhi syarat bertudung dalam al Quran.

2) Bentuk dan jenis pakaian
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar’i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya.

i) Pakaian hendaklah tebal
Syara’ telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.

Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada Dahiyah Al-Albi dan Rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.

Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab :” Saya telah berikan kepada isteri saya”. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :” Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)”.

ii) Tidak terlalu licin dan lembut
Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.

iii) Tidak berwangi-wangian pada pakaian dan badan.
Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina”.

iv) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki.
Ini bermaksud fesyen yg tidak menyerupai lelaki, seperti wanita berkemeja dan berseluar panjang sehingga orang menyangka itu adalah lelaki, maka hukumnya haram.

v) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.
Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.

-MelayuKini

Alasan Popular Bagi Wanita Yang Enggan Menutup Aurat



  1. Semua yang tutup aurat, kompom masuk syurga ke?!
    Dik, yang pasti, jika tidak menutup aurat, confirm masuk neraka.
  2. Pakai jarang ke, ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka, jangan tengok.
    Dah lalu lalang depan mata, suka tak suka pasti tertengok jugak. Adakah kita berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan?!
  3. Kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami
    Seksi atau tidak, kita tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut
  4. Walaupun kami tidak bertudung, kami tetap sembahyang dan puasa.
    Kita yakinkah bahawa ibadah kita itu sudah cukup untuk menjamin kita ke syurga?!
  5. Suka hati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain.
    Anda sebenarnya telah menyusahkan bapa, suami, saudara lelaki dan anak lelaki anda dengan menarik mereka ke neraka bersama anda disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik anda
  6. Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan Tuhan.
    Berani cakap kat dunia. Berani ke cakap macam tu depan Allah nanti?! Lawan perintah Allah, neraka tempatnya.
  7. Kami pakai seksi macam ni sebab ikut arahan photographer/pengarah filem untuk disesuaikan dalam scene.
    Sanggup patuh arahan mereka yang hanya manusia biasa daripada patuh suruhan Allah?!
  8. Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.
    Macam mana seru tu?! Nasihat yang diberi tu, seru lah tu. Nak seru macam mana lagi? Mati tidak mengenal usia. Takut tak sempat nak bertaubat nanti.
  9. Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la
    Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, "Tunggu la kejap. Lepak la dulu. Jangan ambil nyawa aku lagi
  10. Tutup aurat tu bagus, tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya
    Kalau begitu anda sebenarnya memang hipokrit. Mengaku sebagai Islam, mengaku sebagai hamba Allah, mengaku sebagai umat Muhammad, namun segala suruhan agama, segala perintah Allah, segala pesanan Rasulullah, semuanya anda tak buat. Ikhlas tak ikhlas lain cerita, yang penting WAJIB buat!
-Gempak
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : Copyright © 2013. Dee Hart - i love islam - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger